Terdapat banyak
muzium bersejarah yang dapat dilawati bagi memperingati jasa wira-wira yang
memperjuangkan Tanah Melayu daripada jajahan negara Eropah. Lawatan bersejarah
ke Malaysia tidak pernah mengecewakan dalam menawarkan kenangan bermakna serta
signifikan. Dengan adanya muzium sejarah, ianya dapat memupuk semangat cintakan
negara dan mengukuhkan perpaduan sesama rakyat.
Oleh itu, di
bawah merupakan senarai muzium yang boleh dilawati di Negeri Selangor:
1) MUZIUM INSITU JUGRA, KUALA LANGAT
Muzium Insitu Jugra merupakan bangunan runtuhan lama yang menjadi Balai Polis Daerah pada tahun 1878 dibina oleh Pegawai British, Kapten Harry Charles Syers dan kemudian dijadikan tempat pusat pemerintahan dan pentadbiran Kesultanan Melayu Selangor. Kini IA berfungsi sebagai muzium dengan 3 ruang pameran yang berisi paparan sejarah. Tiada bayaran dikenakan untuk masuk ke muzium ini tetapi fotografi tidak dibenarkan. Pengunjung boleh melawati muzium ini bermula pada pukul 9.30 pagi hingga 5.30 petang (Sabtu hingga Khamis) dan 9.30 pagi – 12 tengah hari dan bersambung pada pukul 2.45 petang hingga 5.30 (Jumaat).
Untuk
maklumat lanjut, sila emel ke: info@heritage.gov.my
2)
GALERI DIRAJA SULTAN ABDUL AZIZ, KLANG
Terletak di
Klang, Selangor, Galeri Diraja ini dibina sebagai sebuah peringatan kepada
Almarhum Sultan Selangor Salahuddin Abdul Aziz Shah. Bangunan muzium ini mula
dibina pada tahun 1909 sebagai Bangunan Sultan Sulaiman di mana kerajaan
Inggeris menggunakan bangunan tersebut sebagai Pejabat Tanah dan pentadbiran
semasa Tanah Melayu British. Selain itu, bangunan ini juga pernah dijadikan
markas Jepun semasa pemerintahan Jepun di Tanah Melayu. Pada tahun 1957 selepas
kemerdekaan Tanah Melayu, bangunan ini dijadikan Pejabat Daerah Klang dan mula
dibuka sebagai Muzium Peringatan pada tahun 1988 dan mula dirasmikan pada 19
Oktober 2007 oleh Sultan Sharafuddin sehingga kini. Galeri ini dibuka pada hari
Selasa hingga Ahad dan dibuka pada pukul 10 pagi hingga 5.00 petang, Isnin dan
cuti umum ditutup. Masuk adalah percuma.
Untuk
maklumat lanjut, sila hubungi ke: 03-3373 6500
MUZIUM KUALA SELANGOR, KUALA SELANGOR
3)
MUZIUM KUALA SELANGOR, KUALA SELANGOR
Muzium Kuala
Selangor ini menempatkan peninggalan sejarah Selangor yang boleh diketahui
seperti batu nisan, senjata, tombak, meriam dan lain lain yang mana ia
digunakan pada masa peperangan dari awal Kesultanan Selangor oleh Sultan
Salehuddin (Raja Lumu) pada tahun 1766. Selangor juga mempunyai pertempuran
tempatan (Perang Saudara) dan juga pertempuran yang diperjuangkan dengan
Belanda dan Inggeris. Perang Saudara melibatkan Sultan Abdul Samad, Raja
Mahmud, Raja Abdullah dari Kuala Lumpur, Raja Sulaiman (penguasa Klang), Tengku
Kudin, dan Raja Mahadi. Ia kemudiannya adalah pertempuran untuk mendapatkan
kuasa dan permainan politik di antara mereka yang berkuasa. Muzium ini terletak
berhampiran dengan Altingsburd Lighthouse yang mana pengunjung boleh lawati
selepas ke Muzium Kuala Selangor ini. Sekarang, muzium ini dibuka pada setiap hari
bermula pada pukul 9.30 pagi hingga 5.30 petang.
Untuk maklumat lanjut, sila emel ke: www.padat.gov.my
4)
PUSAT WARISAN KAJANG, KAJANG
Penubuhan Bandar
Kajang adalah hasil daripada
perlombongan bijih timah dan penanaman getah. Pada tahun 1850-an, Daerah
Hulu Langat merupakan tempat pertama untuk perlombongan bijih timah yang berada
di Rekoh. Sultan Abdul Samad menawarkan untuk membuka lombong bijih timah di
Bukit Arang kepada Towkay Chin Ah Chan pada tahun 1868. Pendatang Mandailing
dari Sumatera adalah pelopor dalam membuka kawasan hutan di sekitar Kajang.
Pengunjung boleh melawat ke Pusat Warisan Kajang ini pada hari minggu sahaja
pada pukul 10.00 pagi hingga 5.00 petang yang menawarkan pelbagai koleksi yang
berkaitan dengan Bandar Kajang dan Daerah Hulu Langat.
Untuk
maklumat lanjut, sila emel ke: leekimsin@gmail.com
5)
MUZIUM SULTAN ALAM SHAH, PETALING
Muzium ini
merupakan lambang utama warisan budaya dan pembangunan di Negeri Selangor dan
reka bentuk bangunan ini adalah berdasarkan seni bina Minangkabau. Muzium ini
ditubuhkan pada tahun 1974 dan dinamakan sempena nama Sultan Hisamuddin Alam
Shah, Sultan Selangor yang ke-7. Muzium ini memaparkan artifak prasejarah
penempatan manusia awal dan serpihan gendang dari zaman Gangsa (Dong Son) sejak
tahun 600 SM. Malah, museum ini juga menceritakan sejarah Selangor dari zaman
kerajaan Portugis, Bugis, Belanda, Melaka dan Kesultanan Johor sehingga Hari
Kemerdekaan. Kini, muzium ini boleh dilawati secara percuma dan dibuka pada
hari Selasa hingga Ahad sahaja bermula pada pukul 9.30 pagi hingga 5.30 petang.
Untuk maklumat lanjut, sila emel ke: info@padat.gov.my
kita perlulah hargai peninggalan sejarah agar memori terdahulu sentiasa diingati dan diambil pengajaran. Sebagai rakyat Malaysia, kita harus berbangga dan memupuk nilai-nilai murni dalam diri agar sejarah tidak pupus dari ingatan. Sebagai peringatan, pastikan kita sentiasa untuk menjaga penjarakan sosial dan fizikal yang diguna pakai dalam prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah sebarang penularan wabak virus COVID-19 yang sedang melanda dunia sekarang ini.
Untuk informasi lanjut, layari laman sesawang
rasmi Tourism Selangor di Selangor.Travel.
No comments:
Post a Comment