Monday 21 March 2016

Bila Anak kena Sawan Demam Apa Perlu Buat


 

Assalammualaikum

Sekarang tengah musim demam terutama kanak2 mudah terkena jangkitan. 
Pengalaman pertama kali anak terkena tarik betul2 memberi trauma terutama kepada ibu akibat masih terkejut lagi dengan kejadian tersebut. Banyak memberi pengajaran dan berhati2 kelak. Kalau boleh tak nak ingat lagi perkara begini.. Tapi mungkin masih ada ibu2 lain belum tahu apa perlu kita lakukan bila anak dah kena tarik.

Pada mulanya demam biasa jer suhu cuma 38C.Keesokan pagi suhu Qayyum dah turun lepas makan ubat. Ibu pun bersiap macam biasa ke tempat kerja. Dalam Around jam 11 dapat panggilan talefon suhu Qayyum makin naik makan ubat muntah balik.Terus call En Hubby amik dekat opis then sampai rumah jam 11.00 terus pergi klinik. Setelah ambil ubat dalam perjalanan balik rumah suhu badan anak makin bertambah tetiba senyap mata da naik keatas tangan dah mengeletar didada. Kebetulan berlaku berdekatan dengan klinik kesihatan dalam keadaan terkejut terus bawa kesitu.. Alhamdullilah Allah bantu.

 Kejadian sawan tadi kurang dari lima minit. Mereka dah stabilkan oksigen dan menurunkan suhu badan Qayyum sementara menunggu ambulans untuk ke hospital.Okey jika pertama kali anak terkena sawan perlu dimasukkan ke hospital untuk buat pemeriksaan lanjut.. Semasa dihospital demam disebabkan bengkak tonsil. Setelah 3 hari pulang kerumah Qayyum demam semula dan batuk bertambah teruk kena warded sekali lagi.Kali ni pemeriksaan di buat lebih detail kerana demam telah melebihi 2 minggu lebih so we should be worried. Setelah X ray paru2 terdapat tanda putih doktor menyatakan kemungkinan jangkitan kuman. Jadi Qayyum di warded semula.Setelah darah diambil doktor masukkan antibiotik bersesuaian Alhamdullilah Qayyum semakin sembuh. Ibu2 jika anak anda demam melebihi seminggu kita kena buat pemeriksaan detail. Pengajaran buat saya juga agar tidak leka dan lambat beri ubat ikut waktu yang betul.

Jadi saya beri sedikit panduan sebagai langkah berjaga- jaga


SEBELUM SAWAN

1. Ibu bapa boleh mengawal sawan demam dengan mengawal demam mereka. Ini adalah berkesan dengan cara mengelap anak yang demam dengan tuala yang basah daripada air paip atau air yang suam sedikit (jangan gunakan ais kerana ia boleh menyebab hypothermia).

2. Beri anak minum ubat seperti sirap paracetamol.

3. Boleh beri satu suppository voren 12.5mg (anak kecil) atau 25 mg (3 tahun ke atas) ke dalam punggung untuk mengurangkan demam (ambil salah satu samada melalui mulut atau punggung).

4. Jangan pakaikan anak dengan pakaian yang tebal. Pakaian tebal boleh menaikkan lagi suhu. Buka pakaian anak dan letak di bawah kipas. Lap dengan air paip ke seluruh badan.


KETIKA SAWAN

1. Jangan Panik. Cuba lihat jam pukul berapa ia berlaku dan pukul berapa ia tamat. Ini adalah kerana doktor perlu tahu berapa lama sawan itu berlaku.

2. Longgarkan segala pakaian.

3. Jangan ambil sudu atau bahan-bahan keras dan meletakkannya di dalam mulut. Ini boleh menyebabkan luka yang teruk di dalam mulut. Ia juga boleh menyebabkan tercekik objek asing sekiranya patah.

4. Jangan beri minum air atau ubat ketika anak sawan.

5. Lap apa-apa yang lendiran atau air liur yang keluar dari mulut.

6. Duduk bersama anak anda sehingga sawan tamat.

SETELAH SAWAN

1. Baringkan anak anda mengiring ke kiri. Ini akan mengelakkan daripada muntah atau lendiran masuk ke dalam paru-paru.
2. Jangan beri anak anda minum ubat atau air, atau makan sekiranya anda tidak pasti anak anda telah sedar sepenuhnya.

3. Bawa ke klinik atau hospital. Biasanya doktor akan masukkan rectal diazepam 5 -10 mg untuk mengelakkan terjadinya sawan demam daripada berulang atau sawan yang berpanjangan.

4. Masuk ke wad sekiranya perlu.

ADAKAH SAWAN BOLEH BERULANG

Ya, sawan demam boleh terjadi berulang-ulang. Untuk anak anda yang baru pertama kali terkena sawan demam atau sering terkena sawan tetapi tidak pernah diperiksa adalah lebih baik sekiranya anak anda di bawa ke Hospital kerana beberapa pemeriksaan dan pemerhatian perlu dilakukan.

Risiko sawan yang berulang-ulang boleh berlaku sekiranya :-

1. Sawan pada umur di bawah 15 bulan

2. Saudara terdekat spt adik beradik, ibu atau ayah yang mempunyai penyakit epilepsi

3. Saudara terdekat spt adik beradik, ibu atau ayah yang pernah kena sawan demam dahulu

4. Terkena sawan demam dengan suhu di bawah 40 darjah celcius

5. Jarak masa demam dan terkena sawan demam adalah singkat

Ini semua adalah faktor risiko dan mereka yang mempunyai satu atau dua faktor risiko di atas akan kemungkinan mengalami 10% (1 di dalam 10) kes sawan yang berulang. Tetapi, satu kajian menunjukkan sekiranya semua risiko di atas ada, maka risiko sawan berulang adalah 100%.

 APAKAH SAWAN DEMAM 

Secara definisinya ialah sawan yang belaku akibat demam. Ia boleh terjadi kepada kanak-kanak di dalam lingkungan usia 3 bulan sehingga 6 tahun. Diagnosis sawan demam diberi sekiranya tiada bukti bahawa terdapat masalah di dalam otak ataupun masalah metabolik di dalam darah yang boleh menyebabkan masalah sawan berlaku.

Secara mudah, ini bermakna, sawan demam didiagnos apabila masalah-masalah di dalam otak seperti jangkitan atau masalah di darah seperti kekurangan garam tertentu telah diambil kira.

Sekiranya sawan berlaku sebelum umur 3 bulan atau berlanjutan selepas 6 tahun, maka ia bukan dikira sawan demam.

Apabila demam menjadi terlalu tinggi, ini akan mengganggu aktiviti otak dan menyebabkan sawan berlaku. Sawan bermaksud keadaan di mana kanak-kanak itu akan tidak sedarkan diri, mengalami kekejangan badan dan kaki, mata hitam akan memandang ke atas (uprolling of eyeballs) , air liur meleleh (drooling of saliva), dan pada tahap tertentu boleh termuntah, terkencing atau terbuang air besar.

JENIS SAWAN DEMAM

Terdapat dua jenis sawan demam. Saya terjemahkan sebagai Sawan Demam Biasa (Simple Febrile Fits) dan Sawan Demam Kompleks (Complex Febrile Fits).

Sawan demam biasa adalah singkat, hanya satu episod sawan sahaja setiap kali demam dan terjadi kurang daripada 15 minit. Manakala Sawan Demam kompleks adalah berpanjangan, lebih daripada 15 minit dan terjadi berulang-ulang di dalam satu episod demam

ADAKAH ANAK ANDA HARUS MASUK KE WAD ?

Mengapa anak anda harus ke Hospital? Ini adalah kerana supaya doktor dapat memeriksa dan memastikan bahawa anak anda tidak menghidap MENINGITIS atau jangkitan selaput otak.

Ini adalah kerana 17% kes demam sawan adalah positif untuk MENINGITIS dan perlu diingatkan MENINGITIS boleh membawa maut dan menyebabkan kecacatan kekal otak, tubuh dan lumpuh.

Pada kebiasaannya, kanak-kanak yang terkena sawan demam akan bangun dari sawan dan bermain seperti biasa, berlari dan tidak menunjukkan tanda-tanda seperti lesu atau lemah. Mereka tidak perlu bermalam ke dalam wad. Cukup sekadar pemerhatian di wad pemerhatian selama 6 jam sahaja.

Sedangkan MENINGITIS, anak anda akan demam berpanjangan, lemah, muntah, menangis tak henti-henti dan di dalam kesakitan. Di dalam kes ini pemeriksaan yang lebih terperinci perlu dilakukan dan anak anda akan ditahan di wad.

Sumber rujukan dari penulisan seorang doktor

No comments:

Post a Comment